PUTRAJAYA, 12 November - Penjawat awam diseru mengambil langkah proaktif dengan persediaan rapi dan pendekatan inovatif dalam usaha merealisasikan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada tahun hadapan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan iltizam yang jitu, anjakan pemikiran serta sinergi utuh antara agensi pusat dan kementerian adalah kunci utama bagi menjayakan lebih 120 strategi dan lebih 600 inisiatif yang telah digariskan.
Beliau berkata usaha ini perlu diperhebat memandangkan prestasi pembangunan tahun ini masih kurang memberangsangkan.
“Prestasi projek pembangunan pada tahun ini masih kurang memberangsangkan dan memerlukan penambahbaikan.
"Daripada 9,524 projek bernilai RM85.87 bilion, sebanyak RM64.03 bilion telah dibelanjakan dengan purata nasional sebanyak 74.56 peratus. Daripada jumlah ini hanya 16 kementerian berjaya mencapai tahap purata nasional,” katanya.
“Justeru, saya meminta setiap Ketua Setiausaha agar mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) seperti yang dijadualkan dalam Arahan No.1 Tahun 2020", katanya.
Beliau juga menekankan keperluan Jabatan Kerja Raya untuk menyemak semula kaedah pelaksanaan projek fizikal agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan.
Beliau berucap sempena Majlis Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara (SPAPN) 2025 di Putrajaya.