KUALA LUMPUR, 22 Mei- Nombor pendaftaran kenderaan siri FF merekodkan kutipan hasil tertinggi dalam dalam sejarah Sistem JPJeBid.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, nombor pendaftaran kenderaan siri FF yang mula dibida bermula 14 Mei sehingga 19 Mei lalu merekodkan kutipan lebih RM34 juta.
Berdasarkan kepada rekod bidaan, FF8 merupakan Nombor Pendaftaran Kenderaan yang telah dibida dengan harga paling tinggi, iaitu RM950,000 diikuti FF9, FF3, FF2 dan FF7.
"Siri FF ini juga telah menunjukkan sambutan yang luar biasa daripada pembida-pembida. Jumlah penyertaan keseluruhan pembida siri ini lebih 34,000 orang dan sebanyak 8,348 pembida telah berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.
"Jumlah penglibatan pembida dan pemenang bagi siri FF ini juga merekodkan penyertaan tertinggi sejak aplikasi atas talian JPJeBid dilancarkan," katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen.
Sistem JPJeBid ditawarkan kepada orang awam sejak 15 April 2019.
Pembidaan nombor plat secara atas talian itu merupakan suatu manifesti jelas terhadap usaha Jabatan Pengangkutan Jalan untuk menyediakan perkhidmatan secara digital kepada rakyat.
(Anthony Loke)