JITRA, 4 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Kedah dalam tempoh dua bulan.
Sehubungan itu, beliau mahu sejumlah 2,500 keluarga miskin tegar di negeri itu segera dibantu.
"“Saya percaya insyaAllah, kerjasama ini akan menghasilkan natijah yang baik kerana kita tidak mahu umpamanya negeri-negeri yang kebetulan majoritinya Melayu, umat Islam tetapi masih terdera dengan kesusahan ini dan oleh yang demikian, beri perhatian,” katanya.
Datuk Seri Anwar turut percaya kerjasama baik antara kerajaan persekutuan dan negeri dapat membantu dalam membasmi miskin tegar.
Beliau berkata demikian pada ucapannya pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 di Tasik Darulaman Jitra yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Seramai 15,000 orang hadir memeriahkan sambutan dengan pelbagai juadah disediakan.
Hadirin turut dihiburkan artis Lan Pet -Pet, Datuk Hattan, Siti Nordiana dan Haziq Rosebi.