SUBANG JAYA, 7 Oktober - Nilai moral perlu menjadi teras dalam setiap aspek pemerintahan agar perkhidmatan awam tidak kehilangan arah dan matlamat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tanpa nilai moral yang jelas, amanah untuk membangunkan negara dan membela rakyat akan terpesong daripada tujuan asalnya.
Beliau berkata, tanggungjawab utama perkhidmatan awam adalah untuk memperkasa rakyat dan memastikan kemajuan dinikmati secara saksama semua lapisan masyarakat.
"Kegagalan mendengar rintihan golongan lemah dan terpinggir bukan sahaja melemahkan keyakinan awam, malah menggugat legitimasi institusi kerajaan itu sendiri.
"Setiap dasar dan keputusan pentadbiran mesti berteraskan keadilan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan ASEAN: Perkhidmatan Awam Yang Bersedia Menghadapi Masa Hadapan di sini, hari ini.
Menurut Datuk Seri Anwar, tanpa elemen belas kasihan, kemajuan boleh bertukar menjadi ancaman dan pembangunan yang tidak berpaksikan keadilan akan menjadi kosong dan tidak bermakna.
Beliau turut mengingatkan pemimpin dan penjawat awam agar sentiasa menjadikan nilai moral, keadilan serta kesaksamaan sebagai panduan utama dalam membawa negara ke arah masa depan yang inklusif dan sejahtera.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, meskipun ASEAN kekal sebagai antara rantau paling stabil di dunia, namun kestabilan semata-mata tidak mencukupi untuk mempersiapkan negara-negara anggota menghadapi cabaran mendatang.
"Kita mesti berfungsi sebagai rangkaian institusi yang berwibawa dan dipercayai.
"Fasa seterusnya dalam kerjasama ASEAN akan bergantung kepada sejauh mana kita mampu memodenkan sistem pentadbiran negara itu sendiri," katanya.