SEPANG, 7 Oktober – Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia.
Beliau berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.50 pagi, diiringi sambutan perpisahan penuh istiadat termasuk kawalan kehormat oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada Muhammad Shehbaz serta delegasi yang mengiringinya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar pulang Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif yang selesai mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)/BERNAMA
Sebagai tanda penghormatan, Datuk Seri Anwar menyerahkan sebuah album gambar yang merakam detik-detik penting sepanjang lawatan rasmi tersebut.
Turut hadir, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, yang bertindak sebagai menteri pengiring sepanjang lawatan itu.
Lawatan Muhammad Shehbaz ke Malaysia merupakan kunjungan balas atas jemputan Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Pakistan pada Oktober 2024, sekali gus mencerminkan hubungan dua hala yang semakin kukuh antara kedua-dua negara.
Dalam pertemuan dua hala yang berlangsung semalam, kedua-dua pemimpin mencapai kesepakatan memperkukuh kerjasama dalam beberapa bidang utama termasuk pertahanan, penerbangan, kesihatan awam, dan keselamatan siber, sebagai langkah berterusan ke arah mempereratkan lagi hubungan dua hala.