fb fb fb fb fb

NGO digesa untuk bersama kerajaan, bantu keluarga Malaysia tangani cabaran

KUALA LUMPUR, 28 Julai - Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Keluarga Malaysia dan Yayasan Generasi Malaysia digesa memainkan peranan dalam menggembleng ahlinya menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan bagi membantu mengurangkan sebarang cabaran yang dialami Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan percaya sebarang perancangan yang dibuat dan sedang dilaksanakan mampu mencapai kejayaan jika mendapat sokongan semua pihak termasuk NGO.

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Persidangan Gabungan NGO Keluarga
Malaysia dan Anugerah Perdana NGO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur)

"NGO tidak harus bersikap tunggu dan lihat tetapi perlu lebih proaktif dan bertindak menerusi ahli-ahli bagi membantu mengurangkan sebarang cabaran yang dialami Keluarga Malaysia.

"Saya berharap agar semua NGO dapat menubuhkan kumpulan atau bergabung untuk membentuk sebuah kumpulan yang lebih besar dan berpengaruh untuk tujuan tersebut," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Gabungan NGO Keluarga Malaysia dan Anugerah Perdana NGO Malaysia di sini, malam tadi.

Tambah Datuk Seri Ismail, prestasi Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia bagi 2021 yang menunjukkan masyarakat negara ini mencatatkan tahap bahagia pada skor 6.48 mata, tidak membuat kerajaan berasa selesa kerana banyak lagi yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Kerajaan sentiasa berusaha untuk membela nasib setiap ahli Keluarga Malaysia tanpa membiarkan sesiapa pun terpinggir atau tertinggal daripada arus kemajuan dan kemakmuran negara," katanya.

Media Baharu