fb fb fb fb fb

NGO cadang kerajaan keluarkan AP import beras

ALOR SETAR, 5 Oktober - Yayasan Prihatin Kemiskinan dan Pendidikan Kedah (YPKPK) mencadangkan agar kerajaan mengeluarkan Permit Import (AP) untuk pengimportan beras dari luar negara kepada agensi-agensi berkaitan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazar Ahmad Md Noor berkata antara agensi yang boleh memainkan peranan tersebut termasuklah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Nazar berkata, langkah itu bukan sahaja memastikan beras import dapat dijual pada harga yang lebih rendah ia sekali gus memberi peluang kepada rakyat untuk membeli beras import pada kadar harga yang berpatutan.
 
"Kita minta monopoli ini dipecahkan (rombakan) kepada agensi-agensi kerajaan atau kementerian pertanian yang lain sebab bila monopoli dipecahkan dan banyak agensi boleh import beras.

"Harga beras tak akan melambung tinggi, kita ada pilihan, rakyat pun mempunyai pilihan untuk membeli beras.

"Perkara ni berlaku bila monopoli dari satu syarikat sahaja, akan melibatkan kos beras yang tinggi dan mohon kerajaan ambil berat dan 'tekan' mengenai isu ini," katanya kepada RTM di sini.

Beliau yang juga Setiausaha Unit Peladang Kampung Perlis berkata, langkah itu juga dapat mengelakkan berlakunya isu-isu ketirisan, penipuan dan penyelewengan beras di pasaran.

Pada 26 September lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanana, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sebarang usaha untuk memecahkan monopoli beras perlu dibincangkan dengan Kementerian Kewangan, Ekonomi dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Konsesi beras ketika ini diberikan kepada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Katanya, tempoh konsesi yang diberikan kepada BERNAS adalah selama 10 tahun bermula dari 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031.

AP adalah lesen import dan eksport yang dikeluarkan berdasarkan Akta Kastam 1967 manakala Import Permit (IP) adalah permit untuk mengimport atau penyediaan pengimportan bahan terkawal.

Media Baharu