KULAI, 5 Oktober- Pembesaran kawasan Balai Berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai melibatkan kos RM12 juta mampu melonjakkan ekonomi negeri Johor ke tahap lebih tinggi, dalam sektor pelancongan dan perniagaan.
Kapasiti penumpang di lapangan terbang itu juga dijangka akan meningkat kepada lima juta penumpang setahun, sebelum ini ia mencatakan empat juta penumpang.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pembesaran itu melibatkan keluasan 1,690 meter persegi, lima pintu berlepas, tempat duduk tambahan, dan fasiliti-fasiliti lain.
"Kami menjangkakan dengan pembesaran lapangan terbang ini, ia akan meningkatkan penumpang kepada lima juta berbanding sebelum ini iaitu sebanyak empat juta.
"Say ayakin perkara ini akan berlaku dalam masa terdekat, kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar juga mengumumkan di Johor khususnya di Iskandar Puteri akan adanya zon kewangan," katanya kepada pemberita Majlis Perasmian Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini yang turut dihadiri Pengerusi SATSSB, Tan Sri Che Khalib Mohd Noh.
Selain itu, capaian internet di lapangan terbang yang diuruskan Senai Airport Terminal Services (SATSSB) itu, akan dinaiktaraf kepada 5G.
Lapangan terbang tersebut menawarkan penerbangan ke 12 lokasi domestik, dan enam lokasi antarabangsa, melibatkan 110 penerbangan, dan 11,500 penumpang sehari.
(Onn Hafiz Ghazi)