fb fb fb fb fb

FAMA edar 67 tan beras ke 25 outlet di Perlis

BESERI, 5 Oktober- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis telah mengedarkan sebanyak 67 metrik tan beras putih tempatan ke 25 outlet FAMA seperti Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar Rakyat serta menerusi Program Jualan Agro Madani.
 
Usaha berkenaan menerusi pelaksanaan Pelan Intervensi Pengedaran Beras Putih Tempatan bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri itu.

Menurut Timbalan Pengarah FAMA Negeri Perlis Syamsul Hamri Muhammat Saleh, sebanyak 1.5 hingga dua metrik tan diagihkan kepada setiap outlet bawah FAMA menerusi pelan intervensi berkenaan.
 
"Stok beras di Perlis ini memang terkawal dan kita boleh agih-agihkan kepada outlet-outlet kami selain mengekalkan untuk setiap jualan pada Program Agro Madani di tiga Parlimen di Perlis.

"Kami menyasarkan kira-kira 150 hingga 200 kampit beras untuk penduduk setempat untuk membeli beras semasa program ini," katanya dalam Program Jualan Agro Madani yang berlangsung di pekarangan Masjid Al-Ihsan, Kampung Darat di sini.

Sehingga kini, edaran jualan beras putih tempatan menerusi outlet FAMA lebih teratur dan bekalan akan sentiasa ditambah mengikut keperluan semasa..

Perkara itu bagi memastikan lebih ramai pengguna mendapatkan bekalan beras tempatan selaras dengan intervensi tambahan untuk menangani isu bekalan beras dalam negara khususnya di kawasan luar bandar.

Sehingga kini sebanyak 102 Program Jualan Agro Madani dilaksanakan FAMA Perlis melibatkan outlet terpilih seperti Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar Rakyat serta masjid terpilih dengan nilai jualan mencecah RM550,000.

Jualan Agro Madani itu juga melibatkan penyertaan hampir 800 usahawan bimbingan FAMA seluruh Perlis.

(Syamsul Hamri Muhammat Saleh)

Media Baharu