fb fb fb fb fb

Negeri Sembilan catat jumlah pelaburan RM9 bilion pada 2022, tertinggi dalam sejarah

PORT DICKSON, 14 Januari- Negeri Sembilan berjaya mencatat jumlah pelaburan mencecah RM9 bilion pada tahun lalu iaitu pencapaian tertinggi dalam sejarah pentadbiran negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia termasuk pelaburan RM 6 bilion daripada syarikat Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd (SDIEM) yang kini turut membina sebuah kilang pembuatan sel bateri kenderaan fasa ke-2 di Senawang.

"Antara pelaburan besar yang telah pun memulakan kerja-kerja pembinaan fasiliti adalah Dutch Lady Milk Industries (DLMI) Berhad dengan pelaburan bernilai RM450 juta di atas tanah seluas lebih 13 hektar di Bandar Baru Enstek.

Operasi akan dipindahkan sepenuhnya dari Petaling Jaya ke Bandar Enstek pada suku ketiga tahun ini sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan," katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Pelabur di sini.

(Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan)

Tambah beliau, terdapat dua lagi pelaburan baharu bakal dibuka di Bandar Enstek iaitu Mahsuri Food (M) Sdn Bhd dan Macfood Services (M) Sdn Bhd.

Manakala, Ajinomoto Malaysia Berhad baru sahaja membuka kilang setelah selesai majlis perasmiannya pada 10 Disember lalu.

Kesemua projek berkenaan bakal menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Media Baharu