SENDAYAN, 5 Februari- Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (TABAH) dan Kelab Motosikal Santai Anak Palong kulung kali menganjurkan Negeri Sembilan Bike Week 2023 di Sendayan sebagai salah satu aktiviti sukan pelancongan selain mengikut tren semasa.
Exco Pembangunan Belia dan Sukan Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani turut berhasrat untuk memperkenal keunikan Negeri Sembilan menerusi program itu.
"Di samping itu, kita himpunkan mereka yang aktif dalam sukan permotoran ini termasuk penunggang-penunggang motosikal luar iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor, dan Singapura. Kita juga berhasrat memperkenal Negeri Sembilan.
"Jadi kita mengharapkan mereka ini akan menyewa inap desa, atau hotel-hotel di sini. Tidak dilupakan juga untuk menikmati makanan istimewa Negeri Sembilan iaitu masak lemak cili api, rendang dan sebagainya," katanya di sini.
(Mohamad Taufek Abdul Ghani (tengah))
Program Negeri Sembilan Bike Week 2023 juga merupakan suatu inisiatif di bawah Pejabat Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan bagi menggalakkan sukan permotoran.
Antara agensi kerajaan yang menjayakan prgram tersebut ialah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Bandaraya dan Bomba.
Jualan barangan berkaitan dengan permotoran turut menjadi tumpuan pengunjung kerana pelbagai tawaran diberikan sempena meraikan program itu.
Pelumba Motosikal WorldSBK Hafizh Syahrin berharap agar program ini dapat memberi impak yang positif kepada mereka yang terlibat dalam dunia permotoran.
"Saya harap dengan adanya program sebegini kumpulan ini akan ada matlamat dan okjektif supaya lebih teratur selain mendidik mereka tentang keselamatan jalan raya.
"Kita memang berterima kasih kepada Negeri Sembilan Bike Week kerana membuat program ini untuk penunggang motosikal di luar sana," katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, Pejabat Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan bercadang untuk mengadakan kolaborasi dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) bagi menggalak penglibatan anak muda di peringkat sekolah rendah dan menengah dalam sukan permotoran.