SEREMBAN 22 Disember- Negeri Sembilan berjaya mencapai sasaran sifar miskin tegar sebelum berakhirnya tahun ini membabitkan seramai 3,530 Ketua Isi Rumah (KIR).
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, kejayaan tersebut adalah hasil daripada pelbagai inisiatif yang telah digerakkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan (PPNNS) dalam usaha menoktah kemiskinan tegar di negeri ini.
Jelasnya, usaha menoktahkan kemiskinan juga ialah agenda utama dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) selain disokong dengan penubuhan Task Force Pembasmian Miskin Tegar.
"Jadi ini antara yang kita kehendaki dan Insya-Allah tahun depan tidak akan ada lagi miskin tegar, dan mereka juga mungkin akan kembali pada miskin tegar yang kita sifarkan tahun ini tetapi kita sudah tahu bagaimana untuk kita sifarkan miskin tegar di negeri ini dengan lebih teratur dan lebih berkesan pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan Masjid Saidatina Aishah Bandar Seremban, Selatan di sini hari ini.
Seremban merupakan daerah terakhir mencapai sifar miskin tegar dengan bilangan 922 KIR direkodkan pada awal tahun 2023.
Aminuddin turut berkata terdapat tiga siri bengkel pemurnian data telah diadakan melibatkan agensi pemberi bantuan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal (MAINS) serta agensi pelaksana iaitu pejabat-pejabat daerah di negeri ini.
“Terima kasih dan penghargaan kepada semua wakil rakyat, agensi pemberi bantuan, agensi pelaksana, Jawatankuasa Focus Group Pembasmian Kemiskinan di peringkat daerah serta PPNNS yang bertindak selaku urus setia penyelaras gerak kerja menoktahkan miskin tegar tahun ini,” katanya.
Beliau berkata kerjasama secara bersepadu antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri perlu diperkemas dari semasa ke semasa demi memastikan kesejahteraan rakyat dapat ditingkatkan kepada suatu kualiti hidup lebih baik pada masa hadapan.