fb fb fb fb fb

Penduduk Terengganu diminta waspada amaran hujan lebat, angin kencang

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 22 Disember- Penduduk di Terengganu diminta berwaspada dengan kemungkinan hujan lebat berserta angin kencang bermula esok hingga Isnin ini.

Met Malaysia sebelum ini mengeluarkan amaran hujan lebat secara berterusan sepanjang tempoh tersebut.

Pengarah Meteorologi Terengganu, Rosli Zakaria berkata, dalam tempoh itu sekiranya terdapat pertembungan luruan monsun yang kuat dan sistem tekanan rendah, ia berpotensi menjadi sangat lebat.

Katanya, faktor penumpuan angin dan kelembapan ini berisiko menyebabkan banjir gelombang ketiga berlaku di negeri itu.

Tambah beliau, taburan hujan yang tinggi dijangka berlaku di semua daerah.

Selain itu turut diramal keadaan angin kencang dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam di kawasan perairan pantai Timur yang boleh menyebabkan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter di perairan Terengganu.

"Sekarang ini Met Malaysia sedang memantau kekuatan luruan monsun yang berlaku dalam masa sama kita perhatikan ada kawasan penumpuan angin yang berlaku dijangka memasuki Terengganu bermula esok. Apabila wujud dua elemen ini serentak, keadaan berpotensi mewujudkan hujan sangat lebat. Atas dasar itu dikeluarkan amaran awal dan kami pantau sekiranya perlu, amaran kita akan keluarkan lebih awal lagi dalam masa terdekat ini," katanya

Rosli ditemui semasa menjadi tetamu di konti Terengganu FM, di sini, hari ini.

Sehubungan itu orang ramai dinasihat untuk terus berwaspada dan mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti berisiko.

ZEHRA BINTI ZAMBRI