fb fb fb fb fb

Nazri Aziz sesuai sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat - Ahmad Zahid

(Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi)

KUALA LUMPUR, 12 Februari- Pelantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat bersesuaian dan mampu merapatkan hubungan antara kedua-kedua negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin bekas ahli parlimen Padang Rengas itu juga berupaya memperkukuhkan pelbagai kerjasama melibatkan Kuala Lumpur dan Washington.

"Sebelum ini, terdapat personaliti yang pernah menjawat jawatan tersebut seperti Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis dan Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin yang berjaya menjalinkan hubungan lebih rapat antara Kuala Lumpur dan Washington.

"Memperkukuhkan hubungan bukan hanya kepada perniagaan, pembiayaan antara rakan setara, tetapi paling penting untuk mengukuhkan hubungan antara kerajaan kedua-dua negara.

"Saya yakin, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan ke Amerika Syarikat, Mohamed Nazri mampu mengurus dan mengatur mesyuarat penting antara perdana menteri dan pemimpin utama kerajaan serta pemimpin korporat Amerika Syarikat serta Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia," katanya.

(Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz/Foto fail Bernama)

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Bengkel dan Hala Tuju Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini hari ini.

Pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 10 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia termasuk Mohamed Nazri sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Media Baharu