fb fb fb fb fb

NASIONALfm terus main peranan, sampaikan agenda kerajaan

Md Shahri berkata kerjasama itu sangat baik dan perlu diteruskan

SHAH ALAM, 19 Disember- NASIONALfm terus memainkan peranannya dalam menyampaikan agenda kerajaan menerusi pelbagai progam stesen radio kendalian RTM itu. Terbaharu menerusi kerjasama NASIONALfm Ambil Tahu #KitaAdaKitaKongsi bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Selangor.

Menurut Penolong Pengurus NASIONALfm, Intan Suhaida Sujas, kerjasama strategik itu juga bagi membantu membuat hebahan program FAMA sekali gus menyokong industri keusahawanan tempatan.

"Perkara itu kita selaras wawasan kerajaan dan Ekonomi MADANI, kita menjadikan pemasar-pemasar tani FAMA ini menjadi inspirasi kepada para pendengar. Ia adalah khidmat masyarakat kita kepada para pendengar dan penonton kami; di 'Facebook Live' di NASIONALfm untuk menggalakkan mereka meningkatkan ekonomi masing-masing.

"Ini salah satu usaha antara NASIONALfm dengan kerajaan negeri untuk sama-sama menyokong kempen kerajaan dalam Ekonomi MADANI di Malaysia," kata Intan Suhaida kepada pemberita pada  Majlis Malam Pemasar FAMA Negeri Selangor 2023 di sini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Berita Ehwal Semasa RTM, Md Shahri Saripan berkata kerjasama itu sangat baik dan perlu diteruskan dalam mambantu menyebar luas kejayaan usahawan bagi menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang perniagaan.

"Kerjasama yang dibuat NASIONALfm dengan FAMA negeri Selangor ini satu kerjasama yang baik. ini merupakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) NASIONALfm, NASIONALfm Ambil Tahu sejak 2019.

"Jadi ini salah satu cara untuk meningkatkan kerjasama antara FAMA Persekutuan dan negeri untuk kita 'highlights' daripada segi kejayaan itu sendiri dan saya rasa wajar diteruskan pada masa akan datang sebab peranan NASIONALfm juga luas dan besar untuk mengangkat industri pertanian negara sebagai stesen peringkat nasional dan juga kebangsaan," kata Md Shahri.

Pada majlis sama, berlangsung penyerahan kutipan tabung amal Palestin daripada pemasar negeri Selangor – Putrajaya yang diserahkan kepada tabung Palestin RTM diwakili Md Shahri.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM