KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Kerajaan hari ini melancarkan Pelan Tindakan Nasional Hak Asasi Manusia dalam Perniagaan (NAPBHR) 2025–2030, bagi mengintegrasikan prinsip hak asasi manusia dalam perniagaan dan tadbir urus korporat di seluruh negara.
Pelan lima tahun itu menumpukan kepada isu buruh, alam sekitar dan tadbir urus, dengan matlamat melindungi golongan rentan, menggalakkan amalan lestari serta memperkukuh ketelusan dan mekanisme aduan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pelaksanaan akan dijalankan secara berperingkat melibatkan kementerian, agensi kerajaan, NGO dan sektor swasta.
Datuk Seri Azalina Othman Said / Foto Bernama
“Pelaksanaan Pelan Tindakan Nasional ini akan dijalankan secara berperingkat, bermula dengan pembangunan kesedaran, latihan, penginstitusian amalan terbaik, penilaian kemajuan dan peluasan pelaksanaan.
"Di masa hadapan, kita turut mempertimbangkan pembaharuan seperti Akta Manslaughter Korporat, undang-undang anti-SLAPP, serta undang-undang berkaitan ketelitian rantaian bekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pra-Peluncuran Pelan Tindakan Nasional Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia Malaysia 2025-2030 di Asian International Arbitration Centre (AIAC), di sini hari ini.
Dibangunkan melalui libat urus sejak 2019 dan berpandukan Penilaian Asas Nasional 2024 oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pelan tersebut turut memberi perhatian kepada isu buruh paksa, buruh kanak-kanak, gaji tidak adil, diskriminasi, serta perlindungan pekerja migran, wanita, OKU dan komuniti Orang Asli.
Pelaksanaan NAPBHR akan dipantau oleh Jawatankuasa Pemandu diketuai Azalina, dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, serta SPRM.