fb fb fb fb fb

Kerajaan kaji undang-undang khusus AI, tangani cabaran perundangan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Kerajaan akan mengkaji keperluan memperkenalkan undang-undang khusus berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) susulan cabaran perundangan yang semakin kompleks.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sistem perundangan sedia ada perlu diperkukuh kerana undang-undang berkaitan AI memerlukan pendekatan berbeza, khususnya melibatkan aspek beban pembuktian, ketulenan dan integriti dokumen.

“Pada masa kini, setiap dokumen berada dalam talian dan kandungannya boleh dipalsukan. Sebagai bekas hakim Mahkamah Rayuan, saya memahami isu ini sangat kompleks dan bukan mudah untuk meminda undang-undang sedia ada.

“Mahkamah perlu yakin untuk menerima hujah tertentu kerana dengan teknologi AI, kini banyak video yang kelihatan dan berbunyi seperti seseorang, tetapi sebenarnya bukan orang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pra-Peluncuran Pelan Tindakan Nasional Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia Malaysia (NAPBHR) 2025-2030 di Asian International Arbitration Centre (AIAC) di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan, mahkamah perlu berhati-hati dalam menerima bukti berasaskan AI kerana teknologi itu berupaya menghasilkan visual atau audio yang menyerupai individu sebenar tetapi tidak wujud dalam realiti.

Justeru, langkah perundangan yang teliti diperlukan bagi melindungi orang awam daripada penipuan atau manipulasi.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik, Azalina memaklumkan perkara tersebut masih dalam proses perbincangan dan tertakluk kepada persetujuan parti-parti politik.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN