fb fb fb fb fb

Nanta mahu PM lantik kaum Dayak dan Cina sebagai timbalan menteri

(FOTO Facebook Alexander Nanta Linggi)

KUCHING, 8 Disember - "Saya menyokong penuh agar lebih ramai kaum Dayak dilantik sebagai timbalan menteri persekutuan dalam Kerajaan Perpaduan ini," kata Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Nanta berkata pembentukan sedemikian akan mencerminkan perpaduan dalam kalangan pemimpin berbilang kaum di negara ini.

"Secara idealnya, masyarakat etnik minoriti seperti Bidayuh, Lun Bawang, Kayan, Kenyah, Melanau dan Iban harus diberi peluang untuk terlibat dalam kerajaan itu.

“Tidak dilupakan, Ahli Parlimen daripada masyarakat Cina Sarawak juga perlu diberi peluang untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri. Ini termasuk calon daripada DAP,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, ahli-ahli Parlimen terdiri daripada pelbagai etnik berkenaan ternyata mempunyai kebolehan dan memiliki pengalaman luas berkhidmat selama beberapa penggal sebagai ahli Parlimen dan senator.

Beliau berkata antara Ahli Parlimen yang boleh dipertimbangkan termasuk Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo), Datuk Henry Sum Agong (Lawas), Datuk Hanifah Hajar Taib (Mukah), Datuk Anyie Ngau (Baram), Datuk Wilson Ugak Kumbong (Hulu Rejang) dan Datuk Seri Sophia Brodie (Sri Aman).

“Hampir kesemua mereka pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri dan seorang daripada mereka juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara.

"Oleh itu, pengalaman luas pemimpin ini perlu dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri,” katanya.

(FOTO Facebook Alexander Nanta Linggi)

Nanta turut mengakui beliau memahami sepenuhnya bahawa Perdana Menteri mempunyai hak untuk memilih dan memutuskan sesiapa sahaja yang dirasakan layak untuk menjawat jawatan timbalan menteri.

"Bagaimanapun, sebagai pemimpin kaum Dayak dalam GPS adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menzahirkan sentimen dan harapan masyarakat Dayak Sarawak ke kerajaan pusat.

"Saya yakin Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg, yang juga Pengerusi GPS, berkongsi pandangan yang sama dengan saya mengenai perkara ini," tambah beliau.

Jelasnya lagi, kejayaan cemerlang Abang Johari atau lebih dikenali sebagai Abang Jo dalam menerajui Sarawak adalah kerana gaya dan citarasanya yang inklusif dan tentunya pemahaman sepenuhnya tentang hakikat bahawa Sarawak adalah negeri yang sarat dengan kepelbagaian meliputi aspek kaum, bahasa, budaya, agama dan komposisi.

“Saya percaya dengan kebijaksanaan Perdana Menteri dalam memperhalusi dan mempertimbangkan perkara ini.

"Saya berharap sesiapa sahaja yang dilantik perlu memikul tanggungjawab ini dengan penuh integriti bagi memastikan agenda pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya lagi.

Media Baharu