fb fb fb fb fb

Sultan Perak rasmi Gerbang Suria UPSI

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan Gerbang Suria UPSI / Foto BERNAMA

TANJONG MALIM, 23 April – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan merasmikan Gerbang Suria Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang terletak di UPSI Sports City, di sini.

Gerbang Suria merupakan dewan terbuka pertama di Malaysia yang berasaskan tenaga solar, dengan pemasangan 1,440 modul solar di atas bumbung seluas 3,772 meter persegi. Inisiatif ini mencerminkan komitmen UPSI terhadap kelestarian dan teknologi hijau dalam pembangunan infrastrukturnya.

Turut mengiringi baginda, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Ketibaan baginda berdua disambut oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pro-Canselor UPSI, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid; serta Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff.

Selain berfungsi sebagai infrastruktur mampan, Gerbang Suria juga dijadikan ruang acara serbaguna yang boleh disewa oleh pihak luar, selaras dengan usaha universiti dalam mengoptimumkan aset dan menjana pendapatan secara lestari.

Dalam majlis sama, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPSI, Institut Darul Ridzuan (IDR), dan Singapore University of Social Sciences (SUSS) dari Singapura. Kerjasama ini bertujuan memperkukuh penyelidikan serta pembangunan dalam bidang ekonomi penjagaan, sejajar dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

Baginda berdua juga meluangkan masa menghadiri majlis santapan sempena Sambutan Aidilfitri UPSI 2025 serta melawat gerai makanan dan pameran yang disediakan khas untuk majlis tersebut.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD