fb fb fb fb fb

Perdana Menteri arah segerakan pelaksanaan MoU, kerjasama Malaysia-China

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 23 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar kesemua 31 Memorandum Persefahaman (MoU) dan kerjasama yang dimeterai antara Malaysia dan China semasa lawatan tiga hari Presiden China, Xi Jinping, dilaksanakan dengan kadar segera.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan tersebut diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini.

“Mesyuarat Kabinet telah memutuskan bahawa Kementerian Luar akan menjadi penyelaras utama bagi pelaksanaan semua MoU yang telah ditandatangani,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini.

Menurut Fahmi, antara kerjasama yang sedang menunjukkan perkembangan pesat adalah cadangan mewujudkan 'Hab Lapangan Terbang antara KLIA dan Hainan.

“Cadangan ini menyaksikan perkembangan yang agak pantas dan beberapa pertemuan berkaitan telahpun diadakan kebelakangan ini,” tambahnya.

Lawatan rasmi Presiden Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini menandakan hubungan diplomatik dua hala yang ke-50 tahun antara kedua-dua negara, dengan pelbagai inisiatif strategik dijangka membawa manfaat besar kepada ekonomi dan pembangunan negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD