fb fb fb fb fb

MDJ kerjasama dengan SKMM, agensi berkaitan tangani penyebaran berita palsu

(Suasana Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor yang berlangsung di Bangunan Sultan Ismail,
Kota Iskandar hari ini/ Foto BERNAMA)

JOHOR BAHRU, 8 Disember - Kerajaan negeri Johor menerusi Media Digital Johor (MDJ) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan beberapa agensi lain bagi tujuan mengesan dan mengenal pasti pihak atau individu tidak bertanggungjawab yang menyebar luas berita palsu.

Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi, Norlizah Noh berkata kerjasama itu bertujuan memperkasa proses perundangan.

Antara agensi terlibat adalah Cyber Security Malaysia, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Beberapa sesi perbincangan akan diadakan bersama pemegang-pemegang taruh berkaitan untuk mencapai satu bentuk kerjasama yang dapat diguna pakai bagi tujuan membendung bukan sahaja berita palsu, malah juga dari segi perundangan yang boleh dikuatkuasa kepada pesalah-pesalah siber ini," kata beliau pada sesi penggulungan persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail,Kota Iskandar, di sini, hari ini.


(Norlizah Noh berucap pada sesi penggulungan persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail,
Kota Iskandar, Johor Bahru)

Beliau merujuk kepada cadangan Datuk Mohamad Najib Samuri (BN-Parit Yaani) agar MDJ diberikan tugas yang lebih mencabar, dalam berperanan untuk menangani isu maklumat tidak sahih.

MDJ yang dilancarkan pada 19 Oktober tahun ini, merupakan sebuah jabatan kerajaan negeri yang berperanan sebagai pusat hebahan, yang mengurus dan menyelaras perkongsian maklumat berkaitan hebahan dasar, inisiatif serta program rasmi kerajaan negeri termasuk rakyat dan negeri Johor menerusi platform media sosial.

Dalam perkembangan lain, Norlizah (BN-Johor Lama) berkata sejumlah 16 menara telekomunikasi sudah siap dibangunkan sekali gus memberi liputan kepada telekomunikasi dan internet kepada 16 buah kampung orang asli di Johor.

Manakala 13 menara lagi sedang dalam pelaksanaan yang memberi manfaat kepada 4,078 penduduk di 14 buah kampung orang asli negeri itu.

Media Baharu