fb fb fb fb fb

Najib tiba di mahkamah dengar rayuan akhir kes seleweng RM42 juta dana SRC

PUTRAJAYA, 23 Ogos- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Mahkamah Persekutuan hari ini bagi prosiding rayuan akhir kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Beliau yang memakai sut lengkap berwarna hitam tiba di mahkamah pada pukul 9.22 pagi ditemani beberapa pembantu dan juga peguamnya.

Ahli Parlimen Pekan itu yang turut ditemani anaknya Datuk Mohd Nizar sempat melambai ke arah media sebelum memasuki mahkamah

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V.Sithambaram dan peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili Najib tiba di mahkamah pada kira-kira pukul 8.00 pagi.

Lebih 30 agensi media dari dalam dan luar negara mula berkumpul seawal pukul 7.00 pagi bagi membuat liputan kes tersebut.

Perkarangan Istana Kehakiman mula dibanjiri lebih 300 penyokong yang majoritinya ahli UMNO dan turut sama Presiden Makkal Sakthi Datuk Seri RS Thanenthiran.

Ketika hujan lebat seawal pukul 7.00 pagi, kelihatan 10 bas yang membawa penyokong dari Pekan, Pahang terdiri daripada ahli UMNO dan ketua cawangan UMNO Pahang serta ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pahang parkir berhampiran Istana Kehakiman.

Seorang individu yang mahu dikenali sebagai Rustam berkata mereka bergerak dari Pekan pada pukul 1.00 pagi tadi dan singgah di Masjid Putra di sini untuk menunaikan solat subuh sebelum ke Istana Kehakiman.

Datuk Seri Najib Tun Razak / FOTO BERNAMA

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda. -BERNAMA

Media Baharu