fb fb fb fb fb

Najib kekal Ahli Parlimen Pekan

KUALA LUMPUR, 5 September - Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun memaklumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan susulan petisyen pengampunan yang difailkannya, pada 2 September lalu.

Jelasnya dalam satu kenyataan, selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan petisyen pengampunan dibuat dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan.

Justeru, kuasa kehilangan kelayakan Ahli Parlimen itu bermula sebaik sahaja petisyen tersebut diselesaikan atau ditolak.

“Maka kuat kuasa kehilangan kelayakan beliau sebagai Ahli Parlimen hanya akan bermula sebaik sahaja petisyen pengampunan itu dibereskan (sekiranya petisyen itu ditolak).

“Ini bermakna status Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah dan akan hanya dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan itu dibereskan,” katanya.

Azhar berkata beliau telah menerima serahan dokumen meliputi salinan permohonan pengampunan Najib di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan pada 1 Sept; salinan surat daripada Tetuan Shafee & Co bertarikh 1 September yang melampirkan permohonan pengampunan yang diaku-terima oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada 2 September.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib berhubung penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Selain itu, turut diterima adalah salinan Perintah Jenayah termeterai masing-masing bagi kes rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan bertarikh 23 Ogos lepas.

Azhar juga mengambil maklum bahawa rayuan jenayah Ahli Parlimen Pekan itu ditolak Mahkamah Persekutuan.

(Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun/Foto fail)

“Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana Ahli Parlimen yang disabitkan atas kesalahan oleh mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang dari setahun atau didenda sebanyak tidak kurang dari RM2,000 akan hilang kelayakan sebagai seorang Ahli Parlimen.

“Kuat kuasa Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan adalah tertakluk kepada peruntukan Perkara 48(4) dan Perkara 53(2). Dalam hal ini, Perkara 48(4)(c) memperuntukkan bahawa sekiranya satu petisyen pengampunan difailkan oleh Ahli Parlimen yang berkenaan dalam masa 14 hari dari tarikh rayuan diputuskan, kehilangan kelayakan Ahli Parlimen berkenaan hanya akan berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen pengampunan dibereskan (sekiranya petisyen ditolak),” katanya.

Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana hakim mengarahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Media Baharu