
SEMPORNA, 10 September – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia menyediakan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa nahas helikopter yang memerlukan sokongan emosi.
- Kaunselor perlu mempunyai persediaan serta kefahaman mendalam untuk mengendalikan emosi keluarga mangsa.
- KPWKM sentiasa bersiap siaga menggerakkan bantuan kaunseling melalui pegawai berkemahiran dan berpengalaman.
- Perkhidmatan kaunseling diperkukuh menerusi program advokasi dan penyediaan ruang bantuan, termasuk AAGS X EVAW di Semporna.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, khidmat berkenaan penting memandangkan keluarga mangsa berdepan situasi sukar dan memerlukan pendekatan kaunseling yang sesuai.
Menurut beliau, kaunselor yang memberikan khidmat kepada keluarga mangsa perlu mempunyai persediaan serta kefahaman mendalam bagi mengendalikan keadaan emosi mereka.
“Kementerian sentiasa bersiap siaga untuk menggerakkan bantuan kaunseling sekiranya diperlukan, termasuk melalui pegawai yang mempunyai kemahiran dan pengalaman berkaitan.
“Pendekatan itu penting bagi memastikan keluarga mangsa tidak menghadapi kesedihan dan tekanan seorang diri,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Nancy berkata, KPWKM turut memperkukuh perkhidmatan kaunseling menerusi program advokasi dan penyediaan ruang mendapatkan bantuan kepada masyarakat.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan Semporna: Advokasi Anti Gangguan Seksual X Eliminate Violence Against Women (AAGS X EVAW) di sini.