MELAKA, 24 April - Seorang pemandu lori cedera parah dalam kemalangan di KM 186.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah Jasin, di sini pagi tadi membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah treler.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut pada pukul enam pagi.
"Seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di tempat kejadian, seorang mangsa berjaya dikeluarkan orang awam, manakala dua lagi mangsa masih tersepit," kata JBPM menerusi kenyataan.
Anggota Bomba kemudian berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.