KUANTAN, 20 Disember - Pusat khidmat bergerak 'NADI on Wheels' (NOW) yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Setongkol di sini membantu meningkatkan akses Internet dalam memenuhi keperluan penduduk terjejas banjir.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi satu kenyataan memaklumkan, NOW digerakkan ke PPS itu menerusi inisiatif Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi bersama-sama MCMC melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Antara perkhidmatan yang disediakan di PPS tersebut ialah kemudahan Internet percuma, saringan kesihatan asas, serta aktiviti Program Perkhidmatan Pintar NADI yang disesuaikan dengan keperluan komuniti setempat.
"Inisiatif ini bertujuan memastikan penduduk terjejas kekal berhubung, memperoleh maklumat yang tepat, serta dapat meneruskan urusan penting walaupun berada dalam situasi bencana.
"Bermula semalam (Jumaat), perkhidmatan NOW telah digerakkan ke PPS SK Bukit Setongkol bagi membantu penduduk terjejas, khususnya dari aspek akses digital dan sokongan berasaskan komuniti," menurut kenyataan itu.
Dilengkapi dengan satelit Starlink, tenaga solar mudah alih, komputer riba, tablet, projektor dan kemudahan wi-fi percuma, NOW berperanan sebagai pusat perkhidmatan bergerak yang membawa kemudahan teknologi terus ke lapangan.
Menurut MCMC, pendekatan itu memastikan kesinambungan akses digital dapat dikekalkan, sekali gus menyokong kesejahteraan komuniti terjejas.
NOW merupakan inisiatif bawah MCMC yang berfungsi sebagai platform perkhidmatan bergerak bagi menyediakan capaian Internet serta sokongan kepada komuniti secara terus di lapangan, terutamanya kepada golongan rentan, pedalaman dan lokasi terkesan bencana.