BAYAN LEPAS, 20 Disember - Jumlah kutipan zakat menerusi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pada tahun ini memberangsangkan.
Ia menyaksikan peningkatan sebanyak RM18 juta kepada RM190.1 juta yang direkodkan dari awal tahun sehingga hari ini berbanding RM172.9 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lepas.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, pihaknya optimis sasaran kutipan RM200 juta pada 2025 dapat dicapai menjelang hujung bulan ini.
"Kalau ikut laporan, sasarannya melebihi apa yang kita tetapkan. Contohnya sehingga hari ini, kutipan melebihi RM18 juta berbanding tahun lepas.
"Kalau kita dapat kekalkan momentum tahun lepas yang menyaksikan kutipan RM172.9 juta, Insya-Allah sasaran mengutip hampir RM200 juta dapat dicapai, kalau tak capai RM200 juta pun," katanya kepada media selepas menghadiri program Kembara Santuni Asnaf di Sungai Ara di sini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Muhammad Kairi Ghazali dan Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Pada program itu, pihak Zakat MAINPP menyantuni keluarga asnaf yang mendiami empat buah rumah dengan menyampaikan sumbangan wang tunai RM1,500 dan kit makanan.