SEREMBAN, 24 April - Negeri Sembilan mencatatkan prestasi membanggakan dalam aspek pengurusan kewangan, apabila julung kali merekodkan kutipan hasil tertinggi pada 2024 iaitu sebanyak RM636.17 juta berbanding sasaran RM520 juta.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, pencapaian itu diperoleh bagi tahun ketiga berturut-turut sekali gus berjaya mengubah belanjawan defisit kepada belanjawan lebihan atau surplus.
Prestasi ekonomi negeri terus mencatatkan perkembangan memberangsangkan dengan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 1.8 peratus dengan nilai RM51.9 bilion bagi tahun 2022 hingga 2023.
"Pada tahun 2024, defisit RM46.9 juta telah diubah kepada surplus RM83.07 juta. Ini mengukuhkan lagi kedudukan rizab negeri bagi akaun hasil disatukan iaitu daripada RM410.48 juta pada tahun 2023 kepada RM493.55 juta pada tahun 2024. Syabas dan tahniah Beta ucapkan kepada semua jabatan-jabatan pemungut hasil, khususnya Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri selaku peneraju utama," titah Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15 Negeri Sembilan, di sini.
Tuanku Muhriz Tuanku Munawir turut berpuas hati dengan prestasi perbelanjaan pembangunan yang menunjukkan peningkatan perbelanjaan sebanyak RM127.23 juta iaitu 97.89 peratus daripada peruntukan.
Projek-projek pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja menggambarkan kemajuan negeri, malah lebih penting, memberi faedah dan manfaat yang dapat dinikmati secara terus daripada rakyat.