fb fb fb fb fb

PKCT akan dikembangkan sebagai hab pemindahan kapal

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

PORT KLANG, 24 April - Kementerian Pengangkutan menyokong cadangan agar Port Klang Cruise Terminal (PKCT) diperluas perkhidmatannya sebagai hab pemindahan kapal.

Menterinya Anthony Loke berkata, PKCT berpotensi melaksanakan perkhidmatan itu susulan terdapat tapak atau tanah yang boleh digunakan berhampiran lokasi berkenaan sekali gus mengukuhkan rangkaian logistik Malaysia.

"Kami mahu memanfaatkan sepenuhnya bukan sahaja sebagai terminal pelayaran kerana mereka (PKCT) mempunyai ruang dan dermaga jadi mereka juga boleh bertindak sebagai hab pemindahan kapal, kerana bukan penumpang harian yang turun di sini.

"Projek ini di bawah PKCT sebagai operator swasta dan saya yakin ini akan membawa lebih nilai dan faedah kepada negara," kata Loke.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran Program Latihan Pemandu Pengangkut Kereta untuk Pengendalian Kenderaan Elektrik (EV), di sini.

Loke berkata PKCT juga dalam usaha mempromosikan terminal itu sebagai pelabuhan pangkalan untuk pemain pelayaran antarabangsa.

Mengenai program latihan tersebut, beliau berkata ia merupakan langkah penting bagi mengukuhkan ekosistem EV dalam negara selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan penggunaan kenderaan itu.

Mengulas mengenai mekanisme berhubung cadangan kenaikan tarif pelabuhan sebanyak 30 peratus bagi pengendalian dan penyimpanan kontena, Loke berkata perkara itu belum diputuskan.

Beliau berkata setakat ini perkara itu masih dibincangkan pada peringkat pihak berkepentingan sebelum satu keputusan tuntas dapat diumumkan.

"Perkara sebegini ada proses-proses yang perlu dilakukan dan ia belum sampai ke peringkat saya untuk dimuktamadkan.

"Prosesnya memang telus dan ada sistematik, bermula di peringkat Lembaga Pelabuhan dan ada Jawatankuasa Khas. Mereka telah berbincang dan telah mendapat pandangan pemain-pemain industri," katanya.

Semalam, Loke dilaporkan berkata cadangan kenaikan tarif pelabuhan sebanyak 30 peratus bagi pengendalian dan penyimpanan kontena dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh tiga tahun.

TETITIA YUSOFF