KUALA LUMPUR, 24 April- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyambut baik perkembangan pesat dalam bidang teknologi, termasuk penggunaan kecerdasan buatan atau AI, yang kini semakin meluas dalam sektor media, pendidikan dan perniagaan.
Namun, Perdana Menteri menegaskan kemajuan teknologi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab manusia, terutama dalam menyemak dan mengawal kualiti kandungan.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyampaikan perkara itu secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim.
"AI tidak boleh menggantikan tanggungjawab editorial dan kawalan kualiti oleh manusia. Ssetiap bahan yang melibatkan simbol negara atau sensitiviti rakyat mesti melalui semakan dengan teliti dengan semangat hormat dan tanggungjawab bersama.
"AI ialah alat yang hebat tetapi jika digunakan secara cuai dia boleh mengundang implikasi yang besar terhadap keharmonian dan perpaduan negara," katanya.