KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Inisiatif Tetingkap Tunggal MYStartup merekodkan sebanyak 9,532 pengguna berdaftar setakat ini.
Ini sekali gus menunjukkan ekosistem syarikat pemula negara semakin mendapat perhatian masyarakat.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal, berkata sejak platform itu dilancarkan pada April, ia telah mencatatkan lebih 197,000 pelawat.
"Platform ini telah mencatatkan jumlah terkumpul pelawat sebanyak 197,574 dan mempunyai 9,532 pengguna berdaftar.
"Jumlah yang tinggi ini membuktikan bahawa ekosistem startup negara sedang menuju ke arah yang lebih matang dan berjaya menarik minat lebih ramai rakyat Malaysia,' katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, mengenai inisiatif Tetingkap Tunggal MYStartup yang telah dilancarkan pada Sidang Kemuncak KL20 pada bulan April lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dana RM28 juta untuk pembentukan portal MYStartup yang akan menjadi tetingkap tunggal menghimpunkan syarikat pemula (startup) di Malaysia.
Inisiatif ini akan mengoptimumkan dana RM200 juta bawah pelbagai agensi pembiayaan dan modal teroka di bawah satu platform.