fb fb fb fb fb

Malaysia bawa agenda tenaga boleh diperbaharui ke AIPA

Tan Sri Johari Abdul

KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Tiga isu utama akan dibawa Malaysia dalam Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di Laos yang berlangsung pada 18 hingga 24 Oktober ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menyatakan bahawa isu-isu tersebut meliputi tenaga boleh diperbaharui, keselamatan makanan dan kecerdasan buatan (AI).

"Kita akan berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai tenaga boleh diperbaharui termasuk bagaimana Parlimen Malaysia telah memulakan teknologi solar.

"Sebagai sebahagian daripada dasar, menjelang tahun 2050, kita akan mengurangkan penggunaan tenaga tradisional seperti bahan api fosil dan beralih kepada tenaga boleh diperbaharui seperti hidro dan solar," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa Malaysia akan mencadangkan agar ASEAN bertindak secara bersama dalam memastikan pertumbuhan ekonomi di rantau ini kekal pesat, sambil menarik pelabur global bagi memberi manfaat kepada rakyat di negara-negara ASEAN.

SITI AISHAH MD ISA