fb fb fb fb fb

MySejahtera Malaysia diiktiraf EU

KUALA LUMPUR, 5 April - Sijil vaksinasi COVID-19 Malaysia, MySejahtera diiktiraf Kesatuan Eropah (EU) bagi memudahkan pergerakan pengembara Malaysia di negara anggota EU.

Keputusan Suruhanjaya Eropah mengenai pengiktirafan itu berkuat kuasa mulai semalam.

Menurut kenyataan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, sijil vaksinasi dan saringan COVID-19 Malaysia menepati 'Sistem Pengurusan Vaksin’ EU.

Aplikasi MySejahtera dianggap setara dengan Sijil COVID Digital EU.

(Gambar fail)

“Sijil vaksinasi dan ujian COVID-19 yang dikeluarkan oleh Malaysia mengikut ‘Sistem Pengurusan Vaksin’ bagi tujuan memudahkan hak pergerakan bebas dalam sebuah kesatuan, dianggap setara dengan yang dikeluarkan mengikut Peraturan (EU) 2021/953.

“Malaysia akan dihubungkan dengan rangka kerja amanah Sijil COVID Digital EU yang ditubuhkan oleh Peraturan (EU) 2021/953,” kata beliau dalam kenyataan tersebut.

Tambah Ursula, Peraturan (EU) 2021/953 menetapkan rangka kerja untuk pengeluaran, pengesahan dan penerimaan pengvaksinan COVID-19 yang saling beroperasi menerusi ujian dan sijil pemulihan yang memudahkan pemegang melaksanakan hak mereka untuk bebas bergerak semasa tempoh pandemik.

“Aplikasi MySejahtera juga mengandungi sijil ujian pengesahan COVID-19 bagi ujian real-time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) tetapi bukan ujian antigen pantas,” katanya.

Dalam pada itu, Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas turut mengesahkan perkara tersebut menerusi akaun media sosialnya.

“Berita baik, EU telah menerima permintaan Malaysia untuk mewujudkan penyelarasan antara Sijil COVID Digital EU dengan MySejahtera di Malaysia.

“Ini adalah satu pemangkin buat sektor perniagaan dan pelancongan di negara ini,” katanya. 

Media Baharu