fb fb fb fb fb

MyBHA harap impak positif Belanjawan 2025

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) menyeru kerajaan untuk memastikan Belanjawan 2025 memberikan impak jangka panjang yang positif terhadap industri hotel.

Ini adalah terutamanya bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berkaitan dengan produk pelancongan, ketika negara bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.

Presiden MyBHA, Dr Seri Ganesh Michiel, menegaskan bahawa adalah penting untuk Belanjawan 2025 memperuntukkan bajet yang mencukupi bagi mempersiapkan sektor hospitaliti dan pelancongan untuk jangkaan peningkatan pelancong.

"MyBHA juga menekankan keperluan kerajaan memastikan pegawai berpengalaman dan berkelayakan mengetuai semua inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Pegawai-pegawai ini perlu mempunyai pengetahuan luas mengenai industri hospitaliti serta mengekalkan hubungan yang kukuh dengan semua pihak berkepentingan dalam industri.

"Kepimpinan yang baik adalah penting untuk memupuk kerjasama, memahami keperluan industri, dan melaksanakan strategi yang akan memberi manfaat kepada sektor pelancongan secara keseluruhan," menurut kenyataan itu.

Persatuan juga menyeru agar peruntukan belanjawan difokuskan ke arah amalan pelancongan mampan, kerana kemampanan adalah penting untuk memelihara sumber semula jadi dan budaya Malaysia, yang merupakan tarikan utama bagi pelancong.

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM