fb fb fb fb fb

MYAirline gantung operasi berkuat kuasa hari ini

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 12 Oktober - MYAirline Sdn Bhd menggantung operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga diberitahu kelak berikutan tekanan kewangan yang ketara.

Menerusi satu kenyataan, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata keputusan diambil berikutan tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan dan permodalan semula pemegang saham syarikat penerbangan itu.

“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia, pekerja yang berdedikasi dan rakan kongsi kami.

“Kami telah berusaha tanpa jemu untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini. Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada pilihan selain mengambil keputusan ini,” kata lembaga pengarahnya.

(FOTO HIASAN)

Namun begitu, MYAirline berkata ia akan terus komited untuk membantu mereka yang terjejas menghadapi situasi tersebut dan menasihati penumpang yang terkesan supaya tidak pergi ke lapangan terbang dan mencari pengaturan perjalanan alternatif ke destinasi mereka.

“Sila hubungi kami di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya., dan pasukan sokongan kami akan sedia untuk memberikan bantuan mereka,” katanya.

MYAirline juga berkata lembaga pengarah, pemegang saham dan MYAirline akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi pada peringkat ini, syarikat penerbangan itu tidak dapat memberi komitmen pada sebarang garis masa.

"Kami sekali lagi memohon maaf yang tidak terhingga atas sebarang kesulitan dan ketidakselesaan yang timbul daripada penggantungan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk menyediakan sebarang makluman yang tersedia," tambahnya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Rabu berkata MYAirline perlu menjelaskan sebarang isu yang dihadapi kepada kementerian berkenaan menerusi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sebelum agensi itu menyediakan sebarang bantuan.

Media Baharu