(Kawalan keluar-masuk di Gugusan Felda Kerteh, Terengganu)
DUNGUN, 12 Oktober- Sebanyak 30 unit kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang Gugusan Felda Kerteh di Terengganu bagi memantau kegiatan mencuri hasil tanaman sawit dan ternakan khususnya lembu di kawasan berkenaan.
Ketua Zonnya, Aminnaim Mahussin berkata, inisiatif tersebut akan memberi manfaat kepada 2,156 peneroka yang terpaksa menanggung kerugian puluhan ribuan ringgit setahun.
Kerja-kerja pemasangan CCTV menggunakan kuasa hibrid solar itu akan bermula awal bulan hadapan melibatkan enam kawasan dari Felda Kerteh Satu hingga Felda Kerteh Enam membabitkan kos sebanyak RM30,000.
Aminnaim berkata, setiap kawasan akan dipasang lima unit CCTV dan dipantau pengurus Felda melalui telefon bimbit masing-masing.
"Buat masa ini, kita masih dalam proses mencari dan mengenal pasti kawasan yang akan dipasang CCTV.
"Pemasangan akan tertumpu di kawasan atau simpang yang kami rasakan sering digunakan pencuri atau lori haram sebagai jalan masuk dan keluar," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Selain CCTV, peneroka turut melaksanakan rondaan berjadual dan kawalan masuk ke ladang.
Pintu pagar turut dipasang di enam lokasi panas dengan peneroka dibenarkan berada selama 12 jam sahaja di kawasan terbabit sebelum laluan utama ditutup kepada semua orang.
(Aminnaim Mahussin)