fb fb fb fb fb

Muzium feri terapung Pulau Pinang beroperasi secara rasmi 16 Sept

Muzium unik membawa sejarah feri Pulau Pinang sejak 1893

GEORGE TOWN, 5 September - Muzium Feri Pulau Pinang terapung di Pengkalan Weld, di sini bakal dibuka secara rasmi pada 16 September sempena Hari Malaysia.

Difahamkan ia merupakan muzium feri penumpang pertama seumpamanya di dunia.

Muzium itu dibangunkan selepas menjalani proses pemulihan menyeluruh terhadap sebuah feri "Pulau Pinang" yang pernah digunakan untuk menghubungkan terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim dan tanah besar, namun telah dihentikan.

Ia menfokuskan kepada sejarah feri Pulau Pinang sejak 1893.

Pengarah Muzium Feri Pulau Pinang, Abdul Hadi Abu Osman berkata,kerja pemulihan dimulakan pada tahun 2022 dan projek siap pada 2024.

“Walaupun berlaku insiden teknikal yang menyebabkan feri tenggelam selepas restorasi, kami berjaya menyelamatkannya dalam tempoh dua minggu dan meneruskan projek sehingga siap pada 2024.

“Kos pemulihan asal dianggarkan RM7 juta, namun meningkat kepada RM10 juta iaitu kos tambahan selepas insiden itu,” katanya selepas lawatan khas media ke muzium berkenaan.

Antara artifak dipamerkan ialah komponen dan bahan asal feri termasuk ada yang sudah dilupuskan atau tenggelam, namun berjaya diselamatkan semasa proses baik pulih.

Sepanjang tempoh percubaan bermula 30 Ogos lalu, pengunjung dibenarkan melawat muzium unik itu khususnya kepada pemegang tiket awal yang diperkenalkan melalui siri jelajah sejak tiga bulan lepas.

150 pengunjung dibenarkan pada satu-satu masa dan beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 10 malam.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN