fb fb fb fb fb

Sultan Kedah titah rakyat pelihara perpaduan, jadikan Rasulullah teladan

Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah

ALOR SETAR, 5 September – Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru umat Islam di negeri ini agar menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik dalam kehidupan seharian, kepimpinan dan pembangunan masyarakat

Baginda bertitah, Nabi Muhammad SAW bukan sahaja utusan Allah, bahkan pemimpin agung yang berjaya membina tamadun dan peradaban manusia berlandaskan akhlak mulia, kepimpinan adil serta kasih sayang yang menyeluruh terhadap umatnya.

“Nilai kejujuran, amanah, kasih sayang, hormat-menghormati, tolak ansur dan keadilan perlu menjadi amalan dalam kehidupan seharian.

"Justeru, Beta menzahirkan harapan agar seluruh rakyat Kedah menjadikan Rasulullah sebagai contoh dalam membina peribadi, memimpin keluarga, memacu organisasi dan membangunkan masyarakat sehingga terbentuknya masyarakat Islam seperti di Madinah,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin turut menyeru agar rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang terus memelihara keharmonian dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Keamanan dan perpaduan yang kita kecapi pada hari ini adalah nikmat besar yang wajib disyukuri dan dipertahankan bersama,” titah baginda ketika berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah Darul Aman 1447 Hijrah bersamaan 2025 di sini.

Dalam titahnya, baginda menekankan pentingnya umat Islam memperkukuh jati diri, memperkasa institusi keluarga serta melahirkan generasi muda berilmu, beriman dan berakhlak mulia.

Baginda juga menyeru semua pihak sama ada sektor awam, swasta, pertubuhan masyarakat mahupun individu berganding bahu menjayakan agenda pembangunan negeri dengan semangat keikhlasan serta kecintaan kepada Kedah.

GRACE AISYAH KEDAYAN