fb fb fb fb fb

Muslim Care Malaysia laksana misi bantuan kedua ke Afghanistan

(FOTO AFP)

KUALA LUMPUR, 4 April - Pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) akan melaksanakan misi bantuan kemanusian ke Afghanistan bermula 7 April sehingga 15 April ini.

Ia merupakan misi bantuan kedua yang digerakkan bagi membantu rakyat Afghanistan yang terkesan akibat krisis kemanusiaan yang melanda negara tersebut.

Menurut Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail, misi tersebut akan disertai oleh 15 peserta yang terdiri daripada aktivis, pensyarah, doktor dan media.

Fokus bantuan akan tertumpu kepada sumbangan pek makanan untuk rakyat Afghanistan dapat bersahur dan berbuka di bulan Ramadan dengan makanan.

Selain itu, isu pendidikan dan latihan kemahiran antara perkara yang akan dibantu dan dibangunkan terutama kepada golongan wanita di negara tersebut.


(Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail (tengah) ketika menjadi  tetamu program Selamat Pagi Malaysia)

"Insya-Allah untuk misi akan datang kita akan meningkatkan kerjasama dengan NGO tempatan sedia ada untuk membangunkan rakyat Afghanistan supaya lebih berdikari dan berusaha untuk meningkatkan dari sudut pendidikan mereka, dari sudut kemahiran mereka dalam mendepani cabaran kehidupan yang sedang mereka hadapi," kata beliau selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, di sini hari ini.

Sehingga kini, kira-kira RM300,000 sumbangan telah berjaya dikumpulkan dan pihaknya masih membuka sumbangan mana-mana pihak bagi mencapai sasaran RM1 juta untuk menjayakan misi tersebut.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank Muslim Care Malaysia di nombor 564490413882 atau melayari laman sosial facebook mereka untuk maklumat lanjut.

Media Baharu