KUCHING, 4 April - Bekalan ayam dan telur dijamin mencukupi untuk sepanjang Ramadan hingga ke perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai akan datang khususnya di negeri Sarawak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jaminan tersebut berdasarkan pemantauan pihak kementerian dan pengeluar telur dan ayam terbesar di Sarawak iaitu Central Coldstorage Kuching (CCK).
"Kita difahamkan bahawa tempoh ini memang akan cukup bekalan ayam dan telur di Sarawak.
"Manakala, harga barangan juga akan dikawal dan tidak seharusnya lebih daripadaharga maksima yang ditetapkan kementerian," katanya pada sidang media selepas sesi Walkabout Pelancaran OPS Pantau 2022 dan Pengenalan Talian Aduan Tambahan Sempena Bulan Ramadan Serta Hari Raya Aidilfitri di CCK Local City Mall Commercial Centre, semalam.
Beliau juga memberitahu bahawa bekalan dijangka mencukupi di seluruh negara setelah membuat pemantauan serta kajian melalui libat urus bersama industri berkaitan.
Sehubungan itu, Alexander turut menggesa orang ramai agar tidak mengambil peluang untuk mengaut keuntungan yang tidak berpatutan setelah sempadan negara dibuka.
“Jangan suka-suka menaikkan harga barangan, itu adalah kesalahan besar.
“Para peniaga telah diberikan amaran sekiranya bertindak menaikkan harga barang dengan mendadak dan diharap mereka mematuhinya," katanya.
Beliau turut menasihati pengguna agar menjadi pengguna yang bijak serta melakukan perbandingan harga melalui aplikasi Price Catcher.