fb fb fb fb fb

Kadar tol lebuh raya KESAS, SMART, SPRINT & LDP kekal sehingga tamat konsesi

(Foto ihsan Gamuda Berhad)

KUALA LUMPUR, 4 Mac- Kadar tol di empat lebuh raya di sekitar Lembah Klang iaitu KESAS, SMART, SPRINT dan LDP tidak akan dinaikkan dan akan kekal sehingga tamat tempoh konsesi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan media memaklumkan langkah penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya itu akan menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Januari 2022 sehingga tamat tempoh konsesi; dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion.

Jelasnya, kerajaan telah bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula itu setelah penelitian terperinci daripada semua aspek yang meliputi bebanan kepada pengguna dan obligasi kerajaan selaras dengan Perjanjian Konsesi serta beban kewangan Kerajaan.

Kesas Sdn. Bhd. adalah syarikat menguruskan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Damasara - Puchong (LDP).


(Foto Fail)

"Ini merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban khususnya dengan kenaikan kadar tol seperti ditetapkan dalam perjanjian konsesi," kta Perdana Menteri.

Dalam aspek penjimatan, ia boleh dimanfaatkan bagi program pembangunan infrastruktur negara dan kemudahan-kemudahan lain yang perlu diutamakan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Penstrukturan dilaksanakan sejajar dengan prinsip serta objektif utama kerajaan iaitu untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia serta tidak melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan," menurut kenyataan sama.

Perincian lanjut berhubung kelulusan kerajaan mengenai penstrukturan semula itu akan dimaklumkan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, dijadualkan petang ini.

Media Baharu