fb fb fb fb fb

Musim perayaan tingkat risiko HFMD, ibu bapa diminta waspada

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 27 Mac- Musim perayaan sering dikaitkan dengan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), terutamanya dalam kalangan kanak-kanak bawah tujuh tahun.

Aktiviti kunjung-mengunjung serta bersalaman memudahkan penyebaran virus ini, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan.

Lebih membimbangkan, varian Enterovirus 71 (EV71) boleh menyebabkan komplikasi serius seperti radang otak dan masalah jantung jika tidak dikawal dengan baik.

Menurut Pakar Kesihatan Awam, Dr. Fathhullah Azmie Nawawi, HFMD merebak melalui sentuhan langsung dengan lelehan hidung, air liur, najis, serta permukaan yang tercemar.

"HFMD boleh merebak apabila seseorang, terutamanya kanak-kanak, menyentuh permukaan yang tercemar oleh virus ini," jelasnya.

Penularan HFMD dijangka terus meningkat selepas musim perayaan, terutama di pusat jagaan kanak-kanak. Oleh itu, pihak taska dinasihatkan untuk lebih berwaspada dengan menjalankan saringan kesihatan terhadap kanak-kanak yang kembali selepas bercuti.

"Kanak-kanak yang mempunyai demam atau gejala HFMD tidak boleh dibenarkan masuk. Jika ada kes yang terlepas, asingkan segera dan hubungi ibu bapa untuk mendapatkan rawatan di klinik," tambah Dr. Fathhullah.

Ibu bapa digesa untuk lebih peka terhadap gejala HFMD dan mengamalkan langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan penyakit itu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE