fb fb fb fb fb

Aidilfitri: KPDN Kelantan ingatkan peniaga tidak jual santan lebih RM17.50

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail / Foto RTM

KOTA BHARU, 27 Mac-Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kelantan mengingatkan peniaga supaya tidak menjual santan melebihi harga maksimum iaitu RM17.50 pada musim perayaan Aidilfitri ini.
 
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, berkata, ia berikutan santan merupakan antara 24 jenis barangan yang dikawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 yang bermula 24 Mac lalu hingga 7 April depan.
 
“Untuk santan ini bekalan ada cuma, harga meningkat bekalan ada sebenarnya cuma harga tinggi sikit sebab itulah untuk harga kelapa santan bukan kelapa, santan ini kita tetapkan pada harga RM17.50.

"Mana-mana peniaga tidak boleh menjual santan sekilo tak boleh lebih pada RM17.50 walaupun di pasar basah sekalipun", katanya demikian kepada sidang media selepas memantau pelaksanaan SHMPP Hari Raya Puasa 2025 di sebuah pasar raya di sini hari ini.
 
Jelasnya, selain santan, antara jenis barangan lain yang dikawal harga pada musim perayaan ini adalah daging kerbau import, daging lembu tempatan (kecuali daging batang pinang),  timun, tomato, ikan selayang, cili kering dan lain-lain.
 
Mengulas lanjut katanya, berdasarkan maklumat daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan, harga santan didapati meningkat berikutan kekurangan pengeluaran kelapa tempatan susulan diserang sejenis penyakit dinamakan ‘kumbang merah’ dan perlu diimport dari luar.
 
Azman berkata, sepanjang pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa itu, seramai 147 pegawai penguatkuasa dan 81 pegawai pemantau harga akan sentiasa mengawal serta mengambil tindakan jika ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan yang tersenarai termasuk santan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD