fb fb fb fb fb

Musim panas, JAS Kedah tingkat pemantauan kesan aktiviti sebabkan pencemaran

FOTO JAS KEDAH

ALOR SETAR, 14 Mac- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah mempertingkatkan rondaan dan pemantauan alam sekitar di semua kawasan di Negeri Kedah semasa musim panas dan kering yang sedang melanda ketika ini.

Pemantauan dan rondaan bertujuan untuk mengesan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan berlakunya pencemaran kepada alam sekitar dan risiko kesihatan kepada orang awam.

Ia termasuk pembakaran terbuka, pelupusan haram buangan terjadual, pelepasan efluen dan pelepasan bendasing ke udara oleh premis-premis yang tidak mematuhi had yang ditetapkan oleh JAS.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, rondaan yang dijalankan bagi mengelakkan kejadian pencemaran seperti pelupusan haram bertumpu kepada kawasan industri di daerah Pendang, Sik dan Yan. 

Pemantauan di kawasan hotspot yang berpotensi berpotensi berlaku pelupusan haram dan premis-premis yang disita juga turut dijalankan.

Rondaan mencegah pembakaran terbuka juga turut dilakukan di kawasan projek-projek pembinaan sekitar Daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Padang Terap.

Banner larangan pembakaran terbuka telah dipasang di lokasi yang berpotensi berlakunya kejadian tersebut dilakukan. 

Ianya sebagai peringatan kepada semua pihak tentang kesalahan tersebut sekiranya diteruskan.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti pencerobohan tanah dan melakukan pembakaran terbuka. 

Katanya, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2,000t atau tindakan mahkamah dengan hukuman tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pemilik tanah dan premis  juga diminta untuk memantau tanah serta premis masing-masing supaya tidak dijadikan tempat pengumpulan, pemprosesan serta pelupusan apa-apa  sisa buangan terjadual. 

Kesalahan dibawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974  ini boleh dikenakan hukuman maksima RM500,000, mandatori penjara maksima lima tahun serta kompaun RM2,000 bagi tiap kesalahan.

Jabatan Alam Sekitar turut menyeru kepada orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat dan bekerjasama untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 dan http://eaduan.doe.gov.my.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE