fb fb fb fb fb

JMG tidak terima permohonan ulas teknikal Restoran Gua Lepak, Bukit Batu Caves

FOTO GOOGLE MAPS

KUALA LUMPUR, 14 Mac- Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) tidak menerima sebarang permohonan daripada pengusaha perniagaan mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengulas aspek teknikal berhubung kewujudan Restoran Gua Lepak, Bukit Batu Caves di Taman Industri Bolton, Gombak, Selangor yang terletak di dalam gua batu kapur tersebut.

JMG menerusi satu kenyataan memaklumkan, kewujudan restoran tersebut telah menimbulkan isu berkaitan keselamatan pengunjung premis, risiko berlaku bencana geologi, pemuliharaan fosil di tapak, status kebenaran operasi restoran dan risiko vandalisme.

Selain itu, ia turut memberi kesan kepada gangguan biodiversiti endemik serta isu pemuliharaan dan kelestarian terhadap geotapak tersebut yang merupakan sebahagian daripada Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp).

"Penjanaan ekonomi masyarakat setempat merupakan salah satu elemen yang dapat menambah nilai kepada sesuatu geopark.

"Bagaimanapun, aktiviti tersebut perlu selari dengan konsep pembangunan geopark yang melibatkan tiga elemen penting iaitu pemuliharaan, pendidikan serta pembangunan secara lestari,"menurut kenyataan tersebut.

Sebarang pembangunan di kawasan kaki bukit batu kapur perlu merujuk kepada Garis Panduan Penentuan Zon Bahaya Di Sekitar Bukit Batu Kapur yang dikeluarkan oleh JMG.

Pihak JMG amat menyarankan agar Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 (PPGN 2021-2030) dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara (PLGN) yang telah diputuskan untuk dipakai ketika Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara Ke-42 diterjemahkan dalam setiap pembangunan geopark.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE