fb fb fb fb fb

Bekalan ayam dan telur, kerajaan komited libatkan pemain industri

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 14 Mac- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan sesi libat urus akan sentiasa dilakukan bersama pihak industri dalam usaha untuk memastikan bekalan ayam serta telur kekal mampan dan stabil.

Ketika ini, harga ayam dan telur berada dalam keadaan stabil dan tidak melebihi harga siling yang ditetapkan sebanyak RM11.40.

"Setakat ini, belum mencecah ke arah itu, semuanya berada bawah paras itu. Kalau di Mydin, ia masih lagi dijual dibawah harga RM9.00, kadang-kadang RM7.90 atau RM8.00."

"Secara umumnya, kalau ada di poket tertentu mahal, itu bukan kerana dasar umum. Kita akan pantau dan buat laporan. Berhubung kenaikan RM0.30, kalau daripada RM5.50, naik RM0.30 ertinya ia belum lagi mengatasi siling yang kita pernah tetapkan dulu. Kita akan teruskan pemantauan di pasaran serta usaha-usaha lain," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil Padang Terap, Nurul Amin Hamid kononnya ada dakwaan di beberapa tempat harga ayam naik sebanyak RM0.30.

Jelasnya, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan bekalan ayam dan telur mencukupi.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan kementeriannya menyasarkan penambahan tanaman jagung seluas dua hektar dan sayuran seluas enam hektar di Kota Marudu, Sabah tahun ini.

Beliau berkata penambahan kawasan baharu tanaman itu merupakan strategi jangka pendek yang sedang dilaksanakan.

"Berhubung  fasiliti asas seperti tali air, Jabatan Pangairan  Negeri Sabah (JPS) memfokuskan pengairan tanaman padi berbanding  tanaman kontan. JPS akan melaksanakan projek Rancangan Skim Pengairan Marudu yang mengandungi kerja-kerja membaik pulih empangan, menaik taraf tali air serta kerja lain berkaitan dengan kos sebanyak RM5.86 juta,"katanya.

Manakala bagi strategi jangka panjang pula, seluas 15.3 hektar ladang pelbagai tanaman kontan di Kota Marudu sedang dibimbing ke arah Skim Pensijilan MyGAP (Amalan Akuakultur Baik).

Melaluinya, petani dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti hasil ladang dan memasarkan hasil ladang dengan harga lebih tinggi.

Beliau menjawab pertanyan dibangkitkan wakil Kota Marudu Datuk Wetrom Bahanda  yang ingin mengetahui adakah  pihak kementerian mempunyai pelan jangka panjang dan pelan jangka pendek membantu mempertingkatkan hasil tanaman kontan di kawasan Kota Marudu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE