fb fb fb fb fb

Musa Aman dilantik Yang Di-Pertua Negeri Sabah baharu

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Disember- Tun Datuk Seri Panglima Musa Aman menerima Surat Cara Pelantikan sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah ke-11 daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.

Pelantikan itu berkuat kuasa 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.

Dalam istiadat sama, beliau turut dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) yang membawa gelaran Tun.

Istiadat pengurniaan itu berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara, yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul serta beberapa menteri kabinet dari Sabah.

Musa, 73 tahun anak jati kelahiran Beaufort merupakan Ketua Menteri Sabah yang ke-14 dan paling lama sejak 2003 hingga 2018.

Bermula sebagai tokoh perniagaan yang menceburi arena politik sekitar 1980 dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam parti politik di Sabah.

Berkelulusan Ijazah Master of Business of Administration (MBA) dari Edith Cowan University Australia dan telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Ekonomi Pembangunan) oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2023.

Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Datin Seri Panglima Faridah Tussin dan dikurniakan tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Sementara itu, Hajiji menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang Di-Pertua Negeri Sabah baharu itu serta merakamkan setinggi penghargaan kepada Tun Juhar Mahiruddin yang telah memberi khidmat bakti beliau sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah selama 13 tahun.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM