KUALA KEDAH, 17 Disember- Kerajaan Negeri Kedah menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan membatalkan kenaikan kadar tambang feri berkuat kuasa pada 1 Januari depan.
Sebelum ini Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd mengumumkan kenaikan antara RM3 hingga RM10.50 sehala mengikut kategori penumpang dan laluan perjalanan melibatkan feri Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Datuk Salleh Saidin berkata, kenaikan kadar tambang berkenaan dikhuatiri akan menjejaskan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 dan penganjuran LIMA 2025.
Beliau turut berharap agar semua pihak termasuk pengusaha feri berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan khususnya melibatkan kadar kenaikan harga tambang feri.
"Itu adalah satu keputusan yang tepat secara tidak langsung kita meredakan keadaan apabila ada perkhabaran mengenai kenaikan harga tambang feri.
"Jadi macam-macam pandangan dan keluhan diterima. Alhamdullilah tindakan membatalkan kenaikan tambang tersebut nerupakan satu langkah tepat dan bijak," katanya kepada pemberita di sini.
Pengumuman kenaikan kadar tambang itu turut mendapat reaksi daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook yang kesal dengan tindakan terburu-buru pengusaha feri yang membuat pengumuman untuk menaikkan kadar tambang feri.
Pada masa sam Anthony turut memberi amaran bahawa mana-mana pengusaha feri yang terus menaikkan kadar tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik tidak layak menerima subsidi diesel.