KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha membangunkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata data KPM setakat Ogos 2023 menunjukkan peratusan murid aliran STEM telah meningkat daripada 40.95 peratus pada 2021 kepada 45.73 peratus tahun ini.

Katanya, pelbagai inisiatif yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) memberi penekanan kepada meningkatkan minat murid melalui pendekatan pembelajaran baru dan pemantapan kurikulum pendidikan STEM.
"Menerusi belanjawan yang baru ini juga ditekankan tentang satu program penting, signifikan untuk pendidikan negara iaitu Jelajah Pendidikan Masa Depan. Jadi saya harap keterlibatan dan libat urus yang melibatkan seluruh komuniti akan dapat membantu kita memacu pendidikan STEM lebih baik," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Tambah Fadhlina, jawatankuasa STEM merupakan satu platform bagi membincangkan isu-isu kritikal yang memerlukan keputusan dan penyelesaian segera bagi memastikan matlamat Pendidikan STEM tercapai.