(Nancy Shukri)
KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Perbincangan bersama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dilaksana bagi meneroka cadangan untuk mewajibkan saringan tapisan keselamatan terhadap calon yang ingin bekerja sebagai pengasuh.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, calon pengasuh dan pengusaha taska juga bakal dikehendaki menjalani ujian psikometrik bagi mengukur tahap kesihatan mental serta kecenderungan minat kerjaya bagi memastikan mereka sesuai untuk mengendalikan kanak-kanak dan bayi.
JKM juga akan melaksana beberapa inisiatif penguatkuasaan dan pemantauan bagi mengurangkan kes penderaan kanak-kanak di taska khususnya di kawasan berisiko.
"Kita memperkemaskan pasukan penguatkuasaan dan di bawah inisiatif itu Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak ditubuhkan.
"Kita akan menyusun semula penempatan pegawai di setiap daerah dengan menempatkan pegawai yang akan memberi fokus untuk melaksanakan tugas, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan, khusus untuk pusat jagaan kanak-kanak dan taska sahaja.
"Ini akan dimulakan di 43 daerah yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko dan kita akan laksanakannya pada tahun ini," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, peraturan dan garis panduan pemasangan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska juga akan diperketat termasuk memastikan CCTV berfungsi sepanjang tempoh kanak-kanak berada dalam taska.
(Foto hiasan)